Thursday, July 28, 2011

GANJARAN ISTIMEWA UNTUK PEMAIN

KOTA BHARU – Ada ganjaran menarik dijanjikan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kepada barisan pemain dan pegawai pasukan Kelantan diatas kejayaan muncul juara Piala Presiden musim ini.

Dalam perlawanan akhir edisi kali ini, Kelantan muncul juara setelah mengalahkan MP Muar 2-1. Pemain tengah, Mohd Khairul Izuan Rosli muncul wira apabila gol jaringannya pada minit keempat masa tambahan membolehkan Kelantan muncul juara.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, faktor kejayaan skuad yang terkenal dengan jolokan The President Warrior itu berpunca daripada kerja keras serta komitmen yang ditunjukkan semua pemain dan pegawai pasukan mereka sepanjang musim ini.

“Tanpa kita banyak beri perhatian, akhirnya mereka membuktikan mampu bergelar juara. Dan saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain dan pegawai pasukan Kelantan,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Mereka sebenarnya tidak pernah meminta apa-apa malah langsung tidak memberi masalah kepada pihak pengurusan Kafa. Perkara seperti ini yang kita mahukan daripada pemain-pemain muda dan ianya mencerminkan disiplin dan kualiti yang baik ditonjolkan oleh mereka. 

“Mereka sewajarnya mendapat ganjaran selaku bergelar juara. Insya Allah, semua pemain pasukan Piala Presiden dan Liga Super akan mendapat habuan istimewa yang saya akan umumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Menurutnya, kejayaan Kelantan menjulang Piala Presiden itu menjadikan kini enam trofi kejuaraan yang dipertandingkan di negara ini disimpan megah oleh negeri Kelantan.

“Saya fikir ini merupakan tahun yang cukup bermakna bagi Kelantan. Semua piala yang dipertandingkan kecuali Piala FA kini berada dibumi negeri Kelantan. Tahniah kepada The President Warrior kerana menjadikan tahun yang cukup bermakna bagi Kafa.

Ditanya mengenai hala tuju Kafa sendiri selepas pencapaian menakjubkan meraih enam piala dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Annuar menjelaskan pihaknya mempunyai perancangan untuk memastikan kemajuan bola sepak negeri ini sentiasa berterusan.

“Selepas ini kita akan bentuk satu pasukan belia dan akademi. Malah Kafa menetapkan rancangan untuk membentuk satu pasukan dibawah umur 14 tahun. Kita ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sendiri, macam skuad Liga Super mereka seharusnya berada dalam kelas tersendiri kerana akan beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Asia (AFC).

“Saya lihat sekurang-kurangnya lima atau enam pemain yang berpotensi daripada pasukan pelapis boleh diserapkan ke dalam skuad senior. Ini kita mahu seimbangkan supaya perancangan kemajuan bola sepak Kelantan dapat ditingkatkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment